KEAJAIBAN MADU LEBAH UNTUK PENCEGAHAN DAN RAWATAN PENYAKIT. MUHAMMAD MAJID AL-FATAHI. JASMIN PUBLICATIONS. 165 MUKA SURAT.
Ulasan oleh: Dr. Mahat Jamal (Thinker Vault Media) | Diterbitkan pada: 28/11/2021 di Harian Express, Sabah | Dgn kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah.

Buku yang bertajuk Keajaiban Madu Lebah Untuk Pencegahan dan Rawatan Penyakit oleh Muhammad Majid Al-Fatahi mengandungi 12 bab antaranya membicarakan hakikat madu lebah, mengenal lebah pembuat madu, nilai dan gizi makanan dalam madu lebah, madu lebah untuk pengubatan, penjagaan stamina, perawatan kewanitaan, madu lebah dan kesihatan anak dan penggunaan madu lebah dalam masakan.
Bab pertama antara lain menyentuh keistimewaan madu yang dipetik dari Al-Quraan dan As-Sunnah dimana Allah s.w.t berfirman
“Akan keluar dari perut-perutnya minuman yang berlainan warnanya yang padanya ada penawar bagi manusia; sesungguhnya pada yang demikian, terdapat tanda bagi kaum yang mahu memikirkan (An-Nahl ayat 69). Dalam As-Sunnah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda “Berubatlah kalian dengan dua penawar; madu dan Al-Quraan.”
Madu lebah memiliki berbagai kandungan seperti frukosa dan glukosa sebanyak 80% yang boleh diserap langsung oleh tubuh manusia tanpa melakukan proses pencernaan. Sebagai sumber makanan yang dapat meningkatkan stamina, madu lebah mempunyai gizi yang sangat tinggi, meskipun diambil dalam jumlah sedikit. Kandungan lain dalam madu lebah antaranya ialah protein, mineral, zat besi, tembaga, belerang, potasium, magnesium vitamin B1, B2, B3, B5, B6, vitamin C dan vitamin K. Ia juga mengandungi enzim-enzim ragi, nitrogen, zat asam, minyak dan juga bahan-bahan bermanfaat yang lain.
Dalam bab 2, buku ini menyentuh lebah pembuat madu. Lebah madu adalah satu-satunya serangga yang mengambil makanannya dari sari-sari bunga yang terasa manis dan bahagian-bahagian berair yang menitis bersama bunga dan daun. Lebah-lebah tersebut mengumpul sari bunga yang mereka perolehi dalam satu tempat berupa lubang-lubang penyimpanan yang menghasilkan madu. Madu lebah yang paling bagus ialah yang dihasilkan pada musim gugur.

Antara hasilan madu lebah ialah Royal Jelly dan Lilin Madu. Royal Jelly yang berwarna putih seperti mutiara mempunyai sifat antimikrob. Bahan kental putih ini dikeluarkan oleh lebah pekerja dari kelenjar tenggorokannya sebagai makanan ratu lebah sepanjang musim makan. Ia mengandungi 40.49% – 47.75% proten, 7.59 – 15.18 lemak, 3.34% – 2.34% mineral di samping berbagai jenis asam yang disebut sebagai susu lebah.
Di samping madu lebah, sengatan lebah juga mempunyai pelbagai keajaiban. Bisa lebah dikatakan boleh digunakan untuk mengubati reumatik yang terdapat pada sendi-sendi dan otot-otot, penyakit jantung, kolera, sakit pada saraf dan lain-lain. Sengatan lebah mengandungi Asid Hidroklorik, Formik, Artofosforik, Kolisin, Histamin, Traphtopan, Phosphat, Magnesium, Sulfur dan juga arang.
Bab 3 membicarakan nilai dan gizi makanan yang terdapat dalam madu lebah. Zat gula yang ada pada madu lebah ialah zat gula anggur atau glukosa serta gula dari buah-buahan asli yang diperlukan oleh sel-sel tubuh dan jaringannya. Apabila dikonsumpsi, ia akan terus menuju ke darah. Vitamin-vitamin, mineral, karbohidrat dan zat-zat lain-lain yang ada pada madu lebah sangat bermanafaat kepada sel-sel tubuh dan ini dapat meningkatkan jumlah sel darah merah dalam tubuh manusia..
Khasiat madu lebah untuk pengubatan dibincangkan dalam bab 4. Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai bahan pengawet yang paling baik untuk menghindari kebusukan kerana mengandungi Asam Namlic iaitu zat anti bakteria yang dapat mencegah kebusukan.
Dalam bab 5, madu lebah dinyatakan boleh digunakan untuk pengubuatan saluran penafasan termasuk hidung, tekak dan kerongkong. Larutan madu dan air dengan ukuran madu sebanyak 10% yang dimasukkan dalam tabung untuk dihirup melalui hidung, adalah cara yang baik bagi mengatasi masalah sakit pada saluran pernafasan bahagian atas. Bagi hidung tersumbat, cairan madu lebah dengan air perlu disuntik ke bahagian dinding dalam hidung sehingga terasa tersumbat lalu terpaksa bernafas melalui mulut. Bagi mencegah selesema, caranya ialah dengan mengunyah sepotong lilin madu lebah dan meminum dua sendok madu lebah setiap kali makan dalam tempoh mengalami selesama.

Madu lebah sebagai ubat luar dan luka-luka dibincangkan dalam bab 6. Dr. Sarkovax dalam bukunya Pengubatan Tradisional dalam Kehidupan Sehari-hari, menyatakan bahawa pengubatan kudis bernanah pada telapak tangan dan kaki dapat dilakukan dengan membalurkan campuran madu dan tepung pada tempat yang sakit. Madu lebah juga boleh digunakan merawat luka. Kaedah ini biasa dilakukan oleh para doktor semasa perang dunia kedua untuk merawat luka akibat tembakan. Dengan penggunaan madu sebagai bahan rawatan ia dapat segera mengembalikan sel-sel dan jaringan yang rosak dan membuat luka lebih cepat sembuh.
Bab 7 pula menyentuh khasiat madu lebah untuk pengubatan penyakit dalaman termasuk penyakit jantung. Glukosa dalam madu lebah dapat memberi kesan terhadap otot-otot jantung di samping berfungsi menggantikan otot yang telah rosak akibat jantung akibat bekerja berterusan. Dalam hal ini, madu lebah berfungsi menambahkan kekuatan dan ketahanan jantung dan dapat mengembalikan keadaan normal di samping mengingkatkan jumlah sel darah merah (hemoglobin) dan menguatkan organ pengedaran.
Penjagaan stamina dibincangkan dalam bab 8 dimana jika seorang atlet mengambil dua senduk besar madu setengah jam sebelum bertanding, tenaganya akan bertambah dan daya ketahanannya akan meningkat.

Bab 9 pula menyentuh pengubatan untuk perawatan kewanitaan dimana madu lebah sangat berguna untuk mengubati gangguan-gangguan kehamilan. Cara mengatasi masalah ini ialah dengan meminum madu lebah sebanyak tiga sendok teh, yang dilarutkan dalam air panas sebelum sarapan dan setiap kali hendak makan.
Bab 10 membincangkan madu dan kesihatan anak-anak yang dianggap sebagai sumber makanan berkesan yang dapat meningkatkan berat badan dan kekuatan stamina mereka. Bab 11 pula menerangkan manafaat madu lebah untuk pengubatan radang mata, iritasi dan masalah kornea. Untuk pengubatan gangguan saraf dan sukar hendak tidur, disarankan mengambil tiga sendok cuka epal, dicampurkan dengan satu cawan madu untuk diminum pada waktu senja dan sebelum tidur. Jika susah mendapatkan cuka epal, boleh mengunakan air panas dan limau nipis.
Bab terakhir buku ini membincangkan manafaat penggunaan madu dalam masakan. Seperti yang diketahui, madu lebah sangat berkhasiat apabila dimakan bersama makanan lain seperti dengan roti, susu, buah-buahan atau bubur. Sejak zaman dahulu, kuih-kuih seperti roti madu, bahulu madu dan keju madu yang dicampur dengan madu lebah mempunyai gizi yang baik kerana ia sentiasa segar, walaupun disimpan dalam waktu yang lama. Madu lebah juga boleh digunakan sebagai pengganti gula pasir dalam makanan manis seperti manisan, selai buah-buahan, minuman vitamin dan lain-lain.
Buku ini sangat bermanfaat kepada masyarakat umum khususnya mereka yang berminat ingin mengetahui lebih mendalam mengenai khasiat madu lebah untuk pencegahan dan rawatan penyakit.
Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.