Penulisan Asal: Mohd. Noor Yazid. Institut Terjemahan Dan Buku Malaysia Berhad, 2017. 152 Muka Surat.
Ulasan oleh: Dr. Mahat Jamal (Thinker Vault Media) | Dgn kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah.
Buku yang bertajuk ‘Asia Pasifik Sejak 1945: Perubahan Struktur Antarabangsa dan Percaturan Politik Serantau’ ini mempunyai 10 bab yang membincangkan politik antarabangsa dan rantau Asia Pasifik selepas perang dunia kedua, percaturan kuasa dalam era perang dingin, perubahan dan kerjasama di negara-negara rantau Asia Pasifik, pakatan pertahanan Amerika Syarikat dangan negara-negara sekutu di Timur Laut dan Tanggara Asia, struktur tripolar dalam politik antarabangsa, dan peristiwa 11 September 2001.
Dalam bab pertama, penulis memaparkan secara kasar kandungan bab dan perbincangan umum secara menyeluruh serta pendedahan awal bagi memasuki perbincangan bab-bab seterusnya dengan lebih mendalam dan seterusnya membincangkan perkembangan politik antarabangsa di rantau Asia Pasifik selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua di bab kedua. Ia merupakan tinjauan perkembangan politik antarabangsa dan rantau Asia Pasifik dengan satu keadaan baharu iaitu proses awal pembentukan struktur bipolar. Dapat dilihat telah berlaku perubahan struktur politik antarabangsa daripada struktur multipolar yang didominasi oleh kuasa-kuasa besar utama seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet, negara-negara besar Eropah dan Jepun kepada struktur bipolar yang didominasi oleh hanya dua kuasa utama iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Rantau Asia Pasifik juga dilihat tidak bebas daripada pengaruh perubahan kuasa dan percaturan politik antarabangsa ini.
Fokus perbincangan Bab 3 lebih tertumpu kepada perkembangan politik pada awal tahun Perang Dingin, bermula tahun 1945 sehingga awal tahun 1950-an. Bab ini juga menyentuh pemulihan dan penyususan semula politik antarabangsa di rantau Asia Pasifik setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Keadaan menjadi tidak stabil akibat wujudnya perubahan struktur kuasa di peringkat antarabangsa, daripada struktur multipolar kepada bipolar yang mula berlaku pada awal tahun selepas Perang Dunia Kedua berakhir.
Percaturan kuasa era Perang Dingin bermula dari meletusnya Perang Korea dalam bulan Jun 1950 sehingga kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam Selatan pada akhir April 1975 dipaparkan dalam bab 4. Perang Korea yang meletus semasa musim panas 1950 mempunyai implikasi besar kepada dasar luar dan polisi ketenteraan Amerika Syarikat, khususnya di rantau Asia Pasifik. Begitu juga dengan Perang Vietnam Kedua yang bermula dari akhir tahun 1950-an hingga dikalahkan oleh pihak komunis pada 30 April 1975 telah memakan belanja yang besar serta mempunyai implikasi ekonomi dan politik terhadap Amerika Syarikat.
Dalam Bab 5, buku ini menyentuh tentang perubahan kerjasama dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Pasifik. Proses kerjasama yang lebih baik telah berlaku antara negara-negara Asia Tenggara bukan komunis pada pertengahan tahun 1970-an. Ia bermula dengan pembentukan organisasi dan kerjasama serantau bagi menjamin keadaan politik yang lebih stabil dan pembangunan ekonomi yang bertambah baik. Bagaimanapun pembentukan sempadan ideologi antara pengaruh komunis dan kapitalis di bahagian Timur Laut Asia dan bahagian Tenggara Asia dilihat semakin dominan.
Bab 6 pula memfokuskan pakatan pertahanan yang diterajui oleh Amerika Syarikat di rantau Timur Laut dan Tenggara Asia. Amerika Syarikat secara langsung mempengaruhi kestabilan dan kedudukan politik antarabangsa di rantau Asia Pasifik. Dapat dilihat pakatan pertahanan Amerika Syarikat dengan negara-negara sekutunya di Timur Laut Asia bersifat bilateral, berbeza dengan bentuk pakatan keselamatan di rantau Asia Tenggara yang bersifat multilateral. Pakatan berbentuk bilateral adalah bagi memastikan Amerika Syarikat mempunyai kuasa dominan dalam sebarang keputusan dan juga bagi memastikan kestabilan politik serantau boleh dibentuk di bawah kawalan Amerika Syarikat.
Seterusnya dalam bab 7, perbincangan berkisar tentang struktur tripolar dalam percaturan politik antarabangsa rantau Asia Pasifik yang bermula dari 1971 sehingga berakhirnya Perang Dingin, akhir tahun 1991. Dalam tempoh masa struktur tripolar ini terdapat tiga kuasa besar, iaitu Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China Komunis memainkan peranan dalam percaturan kuasa di rantau Asia Pasifik. Percaturan kuasa ini berubah kepada struktur baharu apabila pada tahun 1971, China Komunis diiktiraf sebagai salah satu kuasa besar dunia.
Perkembangan politik era pasca-Perang Dingin di rantau Asia Pasifik dibincang dalam bab 8. Adalah jelas, akibat runtuhnya kuasa Kesatuan Soviet 1991, keadaan politik antarabangsa telah turut mengalami perubahan daripada struktur tripolar kepada struktur unipolar. Juga disentuh tentang wujudnya perbezaan perubahan di antara negara-negara rantau Asia Pasifik dengan rantau negara-negara lain, khususnya Benua Eropah..
Wujudnya kuasa China Komunis, telah mempengaruhi percaturan kuasa yang berbeza dengan negara-negara rantau lain dunia. Tindakan gerakan pro-demokrasi tidak berjaya mencapai matlamatnya di China Komunis. Peristiwa Tiananman Square pada bulan Jun 1989 berjaya dipatahkan oleh pemimpin Deng Xiaoping. Peristiwa tersebut membuktikan pengaruh China yang berdasarkan idealogi komunisnya masih kuat dan sukar dikalahkan untuk digantikan dengan idea demokrasi. Dengan situasi ini, Amerika Syarikat dilihat tidak dapat bertindak sepenuhnya sebagai sebuah kuasa unipolar kerana adanya saingan dari China Komunis.
Bab 9 pula membincangkan Peristiwa 11 September 2001 dan politik antarabangsa dan kesannya terhadap negara-negara rantau Asia Tenggara. Dalam situasi gerakan politik Islam di negara-negara Asia Tenggara, jelas dilihat bahawa negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam seperti negara Indonesia dan Malaysia lebih banyak menerima tekanan berbanding negara-negara yang mempunyai minoriti penduduk Islam . Hal ini mempunyai hubungan dengan komposisi penduduk, dasar Amerika Syarikat terhadap “pengganas” dan gerakan politik yang mempunyai hubungan dengan Islam. Begitu juga, situasi gerakan politik Islam di selatan Filipina dan selatan Thailand menerima tekanan yang besar pasca Peristiwa 11 September 2001.
Bab terakhir buku ini menyimpulkan bahawa negara-negara Asia Pasifik pada umumnya tidak bebas daripada menerima kesan perubahan struktur politik yang berlaku di peringkat antarabangsa. Ini jelas dapat dilihat apabila berlakunya perubahan stuktur daripada multipolar kepada bipolar telah memberi kesan terhadap perkembangan politik di rantau Asia Pasifik. Walaupun demikian, tidak dinafikan bahawa faktor dalaman, idealogi dan kepimpinan juga turut mempengaruhi perkembangan politik di negara-negara rantau Asia Pasifik di samping pengaruh perubahan struktur dan percaturan kuasa di peringkat antarabangsa.
Buku ini sangat bermanfaat kepada masyarakat umum khususnya mereka yang berminat untuk mendalami pengetahuan dalam sejarah, struktur dan pergolakan politik antarabangsa dan rantau Asia Pasifik. Buku ini amat sesuai dibaca oleh para pelajar, penganalisis politik antarabangsa, ahli sejarah atau sesiapa yang berminat dalam perkembangan yang berlaku di rantau Asia Pasifik.
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.